Hikayat Bawang Putih Bawang Merah Evolusi Kisah Lagenda Tempatan

Hikayat Bawang Putih Bawang Merah Evolusi Kisah Lagenda Tempatan

Astro mempersembahkan drama bersiri terbaharu, ‘Hikayat Bawang Putih Bawang Merah’, sebuah kisah epik yang menggabungkan bakat terbaik tanah air untuk menghidupkan semula hikayat klasik ini dengan interpretasi moden, lengkap dengan kesan visual dan elemen fantasi. Siri 4 episod ini bakal bersiaran mulai 21 Oktober, setiap Isnin jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611).

‘Hikayat Bawang Putih Bawang Merah’ merupakan karya terbaharu Datuk Yusry Abdul Halim. Beliau juga terlibat dalam penghasilan kesan khas visual. Karya ini dihasilkan untuk memukau penonton dengan gabungan jalan cerita yang menarik dan suntikan elemen komedi, sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Treler ‘Hikayat Bawang Putih Bawang Merah’ berjaya meraih sebanyak 3.8 juta tontonan di laman digital dan menerima sambutan positif di kalangan warga maya termasuk dari negara jiran.

Barisan pelakon handalan yang terlibat termasuklah Mira Filzah, Nabila Huda, Kamal Adli, Datin Lisa Surihani, Shah Kimin, Azwan Serigala dan Rahim Omar, bersama bintang generasi baharu seperti Amalina Arham dan juga Tracie Sinidol. ‘Magis’, dendangan Dato’ Sri Siti Nurhaliza menjadi lagu tema dan video muzik rasmi siri ini untuk menghiasi pengalaman penonton.

Hikayat Bawang Putih Bawang Merah

Menurut Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, “Kajian kami menunjukkan bahawa sebahagian daripada generasi baharu tidak begitu mengenali kisah dongeng di rantau ini berbanding kisah dongeng Barat. Oleh itu, kami di Astro mengambil inisiatif untuk menghasilkan francais ‘Hikayat’ supaya generasi muda dapat mengenali dan mencintai warisan kita. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Selepas kami menghasilkan ‘Hikayat Pak Belalang’, ‘Hikayat Bawang Putih Bawang Merah’ dipilih berdasarkan maklum balas yang diterima daripada para penonton.”

“Dengan bantuan teknologi moden, kami ingin memastikan kisah-kisah ini kekal relevan untuk generasi akan datang, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan bakat-bakat hebat seperti Datuk Yusry Abdul Halim, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Mira Filzah, Nabila Huda, Kamal Adli, Amalina Arham, Rahim Omar, Shah Kimin, Azwan Serigala dan Datin Lisa Surihani, serta Independent Pictures yang menerbitkan siri ini dan Zeel Production yang mengusahakan video muzik untuk menjayakan projek ini,” ujar beliau.

Pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim, turut berkongsi, “Dengan kerjasama Astro, kami menghasilkan versi terkini ini dengan sentuhan kesan visual khas supaya setiap babak yang diterjemahkan dalam drama ini dapat meninggalkan kesan yang mendalam, terutamanya kepada penonton muda kita. Kami berharap agar para penonton dapat menikmati siri ini yang memaparkan jalan cerita yang penuh teladan dan pengajaran.”

Hikayat Bawang Putih Bawang Merah

‘Hikayat Bawang Putih Bawang Merah’ mengisahkan Putih (Mira Filzah), seorang gadis yang dilayan dengan kejam oleh ibu tirinya, Mak Kundur (Nabila Huda), dan adik tirinya, Merah (Amalina Arham). Dalam usaha melarikan diri, Putih bertemu dengan Pari-Pari Embun (Tracie Sinidol) dan Putera Badlishah (Kamal Adli), yang berjanji untuk membantu Putih mengubah jalan hidupnya.

Siri drama pendek terbaharu Astro ‘Hikayat Bawang Putih Bawang Merah’ turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti box, Astro GO dan juga sooka.

Post a Comment

0 Comments