Astro Original Project: EXIT Mengupas Isu Kesihatan Mental dan Konflik Keluarga

Astro Original Project: EXIT

Selepas mencipta fenomena pada tahun lepas, Astro kini kembali melangkaui sempadan penceritaan industri hiburan tempatan dengan mempersembahkan kisah yang berani dan taboo menerusi siri premium Astro Originals terbaharunya, ‘Project; Exit’. Siri terbitan Astro Shaw bersama Telltale Studios Sdn Bhd ini mengisahkan perjalanan empat orang remaja yang berkomplot untuk mencari jalan keluar daripada pusat pemulihan akhlak. Siri ini bakal bersiaran pada 1 November 2024, jam 9 malam di Astro Premier (saluran 110) dan Astro Citra (saluran 108).

‘Project; Exit’ membawa topik remaja di pusat pemulihan akhlak yang berhadapan dengan pelbagai isu termasuk isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan di Malaysia. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun 2023, 1 daripada 4 remaja Malaysia bergelut dengan kemurungan dan 1 daripada 10 pernah berdepan dengan percubaan membunuh diri, dengan majoritinya adalah remaja perempuan.

‘Project; Exit’ yang merupakan daripada “Project Universe”, mengisahkan tentang empat remaja merancang untuk melarikan diri dari tempat yang menyeksa mereka secara mental. Walaupun berhadapan dengan trauma masing-masing dalam kehidupan, watak-watak ini tetap berpegang pada harapan, menghadapi ketakutan dalaman, membentuk pakatan yang tidak dijangka dengan rakan-rakan banduan dan menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha mencari kebebasan.

Astro Original Project: EXIT

Dalam persekitaran yang mencabar dan kawalan yang ketat, perjalanan mereka memiliki momen-momen yang menyentuh hati, serta pengkhianatan sepanjang siri ini yang menjadi sorotan utama naratifnya.

Siri 6 episod ini mengikuti perjalanan Jannah, seorang perempuan yang dihantar ke pusat pemulihan akhlak dipanggil INSAN selepas gagal dalam percubaan untuk membunuh dirinya. Di INSAN, dia menemui diari arwah bapanya yang membongkar segala rahsia mengenai tempat tersebut, serta rancangan untuk melarikan diri daripada kakitangan yang menjaga dan kawalan ketat yang ada. Dia bertemu Hadi, seorang lelaki dengan Fibrosis sista, dan dua rakan lain bernama Ucop dan Amy yang berkomplot untuk bersama-sama melarikan diri berdasarkan diari arwah bapanya yang dulu juga pernah merancang untuk melarikan diri di tempat yang sama. 

Idea asal siri premium ini dicetuskan oleh Zulaikha Zakaria, juga merupakan showrunner dan pengarah, yang menyambung karyanya daripada kejayaan siri premium ‘Projek: Anchor SPM’ dan ‘Projek: High Council’. Siri penuh saspens ini dibintangi oleh Shasha Abedul (Jannah), Mierul Aiman (Hadi), Naim Daniel (Ucop), Kimberly Chuah (Amy), Nabila Huda (Ibu Zan), Tengku Nur Kamalia (Izzah), Farah Ahmad (Salina) dan ramai lagi.

Post a Comment

0 Comments