Astro mempersembahkan drama bersiri terbaharu, ‘Andai Tiada Dia’, sebuah kisah mengenai konflik alam perkahwinan, mengetengahkan isu-isu melibatkan pasangan yang sudah berumah tangga dalam melayari alam perkahwinan mereka. Drama bersiri ini bakal bersiaran bermula 21 Oktober, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104).
‘Andai Tiada Dia’ merupakan naskhah terbaharu terbitan Global Station mengenai kehidupan pasangan suami isteri yang sedang bergelut dengan dilema untuk mempunyai zuriat, ditambah dengan konflik percintaan terlarang antara adik dan juga abang ipar, serta ketabahan seorang wanita menghadapi pengkhianatan dalam perkahwinan. Naskhah ini juga membawa para penonton menyelami turun naik emosi dalam setiap konflik yang dipaparkan.
Penceritaan drama penuh emosi suka duka menerusi 36 episod ini adalah hasil sentuhan pengarah Riza Baharudin. Drama ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana dan juga Zahiril Adzim.
‘Andai Tiada Dia’ mengisahkan pasangan Suri, (Ummi Nazeera) dan Haikal, (Hisyam Hamid) yang sudah 7 tahun mendirikan rumah tangga namun masih belum dikurniakan zuriat. Tertekan dengan situasi sekeliling, Suri meminta izin kepada Haikal untuk melakukan IVF namun tidak diambil endah oleh Haikal kerana sudah selesa dan bahagia hidup tanpa memiliki anak. Kematian Hisyam, adik kepada Haikal, meninggalkan seorang bayi malang berusia 4 bulan dan menggerakkan hati Suri untuk mengambilnya sebagai anak angkat. Kehadiran Intan (Mimi Lana), adik kepada Suri dalam rumah tangga mereka mengeruhkan lagi keadaan apabila Haikal dan Intan mula menjalinkan hubungan sulit semasa Suri sibuk menjaga anak angkat mereka.
Siri drama terbaharu Astro ‘Andai Tiada Dia’ ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti box, Astro GO dan sooka.
0 Comments