Pertembungan Dua Budaya Yang Menyayat Hati Menerusi Akira Khan

Akira Khan, Kisah Pertembungan Dua Budaya Yang Menyayat Hati

Astro Ria membawa pergolakan kisah cinta yang mengharungi pelbagai dugaan mendatang menerusi slot MegaDrama yang bertajuk ‘Akira Khan’. Drama adaptasi novel terlaris karya Ammara Ayyash ini menampilkan percintaan sejauh 4, 518 kilometer di antara dua keturunan dan budaya yang berbeza yakni Melayu dan Pakistan yang bakal menjadi keterujaan ramai peminat.

Penceritaan menerusi 26 episod ini berkisarkan seorang gadis berdarah Pakistani-Melayu bernama Akira Khan yang telah bertemu dan jatuh cinta kepada seorang jejaka Melayu bernama Radin. Walau bagaimanapun, percintaan mereka dihalang kerana perbezaan keturunan dan bangsa. Kisah cinta mereka menjadi lebih rumit dengan perkahwinan rahsia mereka kerana sebuah insiden yang berlaku di antara mereka. Sayang sekali, perkahwinan ini hancur apabila Radin ditimpa kemalangan dan hilang ingatan ketika Akira pulang ke Pakistan. Ujian demi ujian menimpa Akira dalam mendapatkan suaminya kembali tetapi hanya takdir yang mampu menyatukan cinta mereka semula.

‘Akira Khan’ merupakan terbitan penerbit drama terkenal iaitu SR One Sdn Bhd yang membawa kembali lakonan hebat pasangan suami isteri, Uqasha Senrose dan Kamal Adli sebagai Akira Khan dan Radin. Dengan berlatarbelakangkan dua negara, penggambaran drama ini turut dilakukan di Pakistan dengan menampilkan lokasi-lokasi yang cantik serta sarat dengan sinematografi indah. Barisan pelakon yang terlibat turut mempelajari bahasa Pakistan untuk menguasai watak masing-masing.

Selain daripada barisan pelakon utama kami, MegaDrama kali ini turut memperkenalkan pelakon baharu Irfan Zaini yang amat dikenali di kalangan penonton yang berbahasa tamil. Memegang watak sebagai Zafar dalam drama ini, Irfan merupakan pelakon yang aktif dalam drama-drama berbahasa tamil dan kini mengorak langkah ke drama melayu.

Drama hasil pengarahan sutradara Jamal Khan ini turut dibintangi Julia Farhana Marin sebagai Liyana, Esma Daniel sebagai Kamarul, Datin Maria Farida sebagai Fareedah, Idzham Ismail sebagai Joe da Saidah Kamarudin sebagai Faten, sepupu kepada Akira.

Saksikan ‘Akira Khan’ bermula 18 Januari ini pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot MegaDrama Astro Ria (saluran 104). Untuk pilihan lebih fleksibel, strim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.

Akira Khan, Kisah Pertembungan Dua Budaya Yang Menyayat Hati

Norzeha Mohd Salleh
Ketua Saluran Astro Ria

“Kisah cinta merupakan antara genre yang evergreen, sentiasa digemari ramai, tidak kira muda atau pun tua. Namun, kisah seperti ini juga mampu dikembangkan dalam pelbagai naratif dengan memaparkan sisi-sisi emosi yang relevan kepada para penonton. Untuk memastikan penceritaan berkesan, kreativiti dan daya imaginasi haruslah tegar dan konsisten. ‘Akira Khan’ merupakan hasil buah tangan terkini pihak Astro yang mengolah dan menggabungkan kedua-dua elemen penceritaan ini.

‘Akira Khan’ merupakan sebuah drama yang menceritakan hubungan cinta antara dua orang insan yang berasal daripada dua bangsa dan budaya berbeza. Dari Pakistan ke Malaysia, ceritanya berpaksikan dugaan dalam hubunga yang terjalin atas perbezaan ini serta keupayaan untuk membina semula mahligai yang retak dan berhancuran.

Kami amat berbangga dan teruja dengan kerjasama yang sekali lagi terjalin dengan Siti Rosmizah. Drama-drama terbitannya sememangnya sangat menarik dan sering terpaut di hati para penonton. ‘Akira Khan’ juga mendapat sentuhan unik daripada sutradara berbakat besar, Jamal Khan yang membuatkan kami teruja dengan hasil arahannya. Bukan itu sahaja, kembalinya pasangan yang tidak lekang daripada mulut para peminat turut menjayakan drama ini sebagai watak utama selepas penampilan mereka dalam siri Setelah Terlafaznya Akad 1 & 2. Kami masih berasa sangat kagum dengan profesionalisme Uqasha Senrose dan Kamal Adli dalam karakter masing-masing sebagai Akira dan Radin walaupun pada hakikatnya mereka merupakan suami isteri sebenar. Kedua-duanya wajar dipuji oleh semua pihak atas dedikasi mereka.

‘Akira Khan’ memberi nafas baharu kepada penceritaan berkisahkan cinta menerusi slot kami. Gabungan budaya serta adegan-adegan yang berlatarbelakangkan negara kita dan Pakistan turut akan mempesonakan ramai yang menonton. Pihak Astro berharap agar semua terhibur dan semestinya kagum dengan ‘Akira Khan’. ”

Akira Khan, Kisah Pertembungan Dua Budaya Yang Menyayat Hati

Jamal Khan
Pengarah drama ‘Akira Khan’

“Seperti naratif drama ini, ‘Akira Khan’ memang sudah lama ada dalam keturunan Pakistan iaitu keluarga yang menentukan jodoh. Sehingga ke hari ini, tradisi ini masih wujud di negaranya.

Drama ini membawa keistimewaan di mana ia turut berlatarbelakangkan budaya orang Pakistan. Sebagai seorang gadis yang berasal daripada Pakistan, Akira mempunyai keluarga dengan pegangan yang ketat terhadap tradisinya. Oleh itu, kami terbang ke sana untuk meneruskan penggambaran.

Pada mulanya saya ingin ke Turki untuk lokasi-lokasi penggambaran yang berbeza dan selesa. Namun saya ingin membawa budaya Pakistan ini dengan lebih natural ke dalam penceritaannya. Mereka mempunyai lokasi dan budaya yang berbeza, itulah yang istimewanya selain daripada kisah cinta.

Namun, ia juga memberi cabaran kepada kami kerana sewaktu perjalanan pulang ke hotel dari lokasi, kami menghadapi kejadian tanah runtuh. Jadi sebarang kenderaan tidak dibenarkan untuk lalu. Kami terpaksa bermalam di hotel yang berlainan tanpa membawa sebarang persalinan.

Saya ingin berterima kasih kepada Kak Siti Rosmizah yang sudah lama menawarkan naskhah ini kepada saya. Jalan penceritaannya sangat menarik, memang rezeki buat saya. Kisah cinta Akira dan Radin ini sangat bermakna kerana ia juga dilakonkan oleh pasangan sebenar Uqasha dan Kamal berbanding drama-drama romantik yang lain, jadi saya berharap para peminat novel Kak Siti Rosmizah akan sentiasa memberi sokongan terhadap drama ini.”

Post a Comment

1 Comments

  1. ada tengok trailer drama ni, mmg menarik...teruja nak tengok, shooting kt Pakistan yg best...

    ReplyDelete