Tujuh Hari Di Bawah Matahari (Astro Ria) | Sinopsis Filem Pendek


Astro membawakan kelainan menerusi penceritaan iklan Raya terkini, Tujuh Hari Di Bawah Matahari yang mencabar tanggapan dan jangkaan masyarakat. Naratif kali ini berkenaan dengan seorang pemuda yang kehilangan pekerjaan yang ingin kembali ke pangkuan keluarganya sempena Aidilfitri.

Walaupun naratif filem pendek ini menyentuh elemen ketabahan serta kesungguhan ketika menghadapi dugaan, filem ini jua memaparkan isu-isu semasa yang lebih mendalam. Harta benda, sisi realiti jaringan media sosial yang kurang menyenangkan, erti persahabatan, kasih sayang keluarga serta keengganan meminta bantuan walaupun menyedari diri memerlukannya menjadi inti pati penceritaan.

Kita kini hidup di dalam dunia yang mengangkat kedudukan kewangan, penampilan serta kemampuan memiliki kemewahan. Masyarakat sering menghakim dan melabel dengan pantas yang membuatkan seseorang merasakan dirinya tersisih dan bersendirian. Filem ini menyelami kepincangan isu-isu sosial dan memaparkan bagaimana manusia tidak seharusnya mengadili seseorang atau situasi berdasarkan apa yang mereka lihat di jaringan media sosial.


“Astro sentiasa dan akan meneruskan penggunaan platform-platformnya untuk kebaikan demi memberi inspirasi kepada semua. Tujuh Hari Di Bawah Matahari menyambung tradisi lama ini sebagai misi kami pada tahun ini,” kata Ketua Pemasaran Bisnes Melayu Astro, Ezura Shazween.

Mengenai pemilihan pengarah pula, dia berkata, “Razaisyam Rashid merupakan sutradara terbaik untuk mengarah filem pendek ini berdasarkan kerja-kerjanya sebelum ini termasuk Projek: Anchor SPM, Pusaka dan Sembil9n. Dia mempunyai kemampuan untuk menghasilkan sesuatu yang menakjubkan yang menepati aspirasi kami menerusi naratif filem pendek ini.”

“Filem ini memaparkan elemen kepelbagaian menerusi barisan pelakonnya yang terdiri daripada mereka yang lama bertapa di dalam industri lakonan serta muka-muka baharu. Tidak dilupakan juga, kami mempunyai seekor kucing istimewa yang membawa perubahan yang signifikan terhadap karakter Emil,” tambahnya lagi.

Pengarah Kreatif Naga DDB Tribal, Shiraz Faruqi berkata, “Menukar fokus terhadap isu-isu sosial yang tersirat merupakan matlamat sebenarnya. Saya gembira kerana diberikan peluang untuk membawa penceritaan relevan yang boleh diterima oleh orang ramai. Namun yang paling mustahak adalah filem ini menyambung usaha-usaha jenama Astro dalam membuka minda orang ramai kepada perspektif baharu.”


Tayangan perdana Tujuh Hari Di Bawah Matahari akan disiarkan pada 2 Mei 2022 di Astro GO pada jam 8.30 malam. Manakala, filem pendek ini akan disiarkan secara serentak di saluran-saluran Astro termasuk Ria, Prima, Warna, Citra dan Ceria pada 5 Mei, jam 8.00 malam.

Post a Comment

2 Comments

  1. Tak sabar nak tengok kronologi perjalanan Emil ni. Nadhir Nasar berlakon jarang tak best.

    ReplyDelete