Realiti Tersirat Menerusi Nusyuz Berkiblat Cinta


Realiti Tersirat Menerusi ‘Nusyuz Berkiblat Cinta’


FORMAT DAN INFO SIARAN DRAMA ‘NUSYUZ BERKIBLAT CINTA’


Penderaan rumah tangga merupakan tunjang utama kepada penceritaan siri mini terkini Astro RIA iaitu ‘Nusyuz Berkiblat Cinta’. Drama yang diterbitkan oleh Arisz Ab. Rahman memaparkan naratif two sides to every story mengenai penderaan domestik yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita.

Penceritaan menerusi 7 episod ini mengisahkan Hawa yang merupakan seorang wanita yang mahukan segala aspek kehidupan mengikut kehendaknya termasuk perkahwinannya dengan Adam. Dia turut bertekad untuk menundukkan suaminya kerana keegoannya. Namun tanpa disedarinya, tindak-tanduk Hawa terhadap suaminya mirip-mirip penderaan psikologi, mental dan emosi.

Drama yang menyelit isu-isu rumah tangga yang begitu relevan di kalangan masyarakat kita serta merungkai isu penderaan terhadap suami yang jarang sekali menjadi topik penceritaan drama-drama mainstream mengangkat empat orang pelakon muda iaitu Emma Maembong yang memainkan watak utama Hawa, Fikry Ibrahim sebagai Adam, Nadhir Nasar sebagai Erfhan dan Shaza Bae sebagai Safiana.


Drama ‘Nusyuz Berkiblat Cinta’ merupakan arahan sutradara berbakat besar, Hadith Omar dan turut didukung oleh barisan pelakon hebat seperti Dayana Roza, Yaya Maembong, Ako Mustapha dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Drama ‘Nusyuz Berkiblat Cinta’ akan ditayangkan pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 3 April hingga 15 Mei 2022 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.


PETIKAN KENYATAAN RASMI


Norzeha Mohd Salleh (Pengurus Saluran Astro Ria)

“Apa jua bentuk kandungan yang ada di Astro, sudah pastinya kami inginkan kelainan pada penceritaannya. Siri mini ‘Nusyuz Berkiblat Cinta’ antara drama pertaruhan di Astro RIA membawa kisah yang jarang sekali menjadi tumpuan masyarakat kita yakni penderaan terhadap suami. Penderaan dalam sesebuah rumah tangga seringkali tertumpu terhadap golongan wanita sebagai mangsa. Tetapi ada jua kisah di mana si suami menjadi mangsa penderaan.

Selain daripada itu, keberanian penceritaan domestic violence di mana lensa ditumpukan terhadap hubungan pasangan suami isteri yang masing-masing boleh menjadi mangsa dan pemangsa penderaan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh pengarah serta penerbit harus diberi pujian kerana membawa perspektif berlainan berbanding dengan drama-drama mahupun siri yang ada.

Oleh itu, tiada elemen cliché menerusi penceritaan ‘Nusyuz Berkiblat Cinta’. Naratifnya bakal membuatkan para penonton terkesan dengan jalan cerita dua buah rumah tangga yang sedang berkonflik, yang masing-masing ada mangsa serta pemangsa.

Kisah seperti inilah yang kami carikan dan ingin menjadikan paparan untuk para penonton di platform kami. Kami berharap garapan serta lakonan hebat barisan pelakon muda yang ada mampu menarik minat lapisan-lapisan penonton baharu yang suka dicabar oleh penceritaan yang berani dan autentik.”


Hadith Omar (Pengarah Drama Nusyuz Berkiblat Cinta)

“Terdapat banyak halangan untuk menghasilkan naskah ini. Antaranya adalah skrip yang masih dalam pembikinan ketika melakukan penggambaran kerana isu yang diketengahkan bukanlah isu biasa. Ia melibatkan fakta dan hukum.

Selain itu, drama ini juga mencabar kreativiti saya untuk memberikan paparan visual yang bersesuaian untuk tayangan pada bulan Ramadhan. Subjek yang dipaparkan juga bukanlah subjek kebiasaan atau boleh diambil lewa jadi saya juga perlu melakukan kajian dan banyak membaca mengenai alam perkahwinan.

Drama ini diterbitkan untuk memberi kesedaran kepada penonton mengenai isu keganasan rumah tangga yang berlaku. Bukan sahaja keganasan terhadap wanita, tetapi juga penindasan terhadap kaum lelaki yang jarang diketengahkan. Drama ini juga mendidik penonton penderaan yang berlaku bukan sahaja melalui fizikal tetapi juga penderaan mental dan juga kata-kata lisan.

Drama ini diharap dapat memberikan pengajaran yang positif kepada penonton yang mengalami atau kenal sesiapa yang berada dalam situasi yang abusive supaya mereka tahu bagaimana untuk bertindak dan mengambil langkah yang sepatutnya apabila berdepan dengan situasi sebegini. Drama inj juga diharap dapat menjelaskan lagi situasi dalam alam rumah tangga seperti apa yang dianggap pasangan yang nusyuz. Diharap drama ini dapat memberi manfaat dan pengajaran untuk semua yang menonton nanti.”



TRIVIA MENARIK DRAMA ‘‘NUSYUZ BERKIBLAT CINTA’’


1.  Penggambaran dijalankan dalam masa 40 hari. Lokasi penggambaran dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.

2. Penggambaran berjalan dengan lancar. Namun penelitian skrip amat dititikberatkan dengan kajian mendalam yang dilakukan terhadap isu-isu yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga yang turut melibatkan fakta keganasan rumah tangga serta hukum-hukum jika tersabit dengan kesalahan yang berkaitan. Drama ini turut menggunakan khidmat peguam Fahmi Ramli sebagai penasihat untuk fakta perundangan shariah dan sivil.

3. Lagu Mainan nyanyian Naim Daniel dipilih menjadi lagu tema utama untuk drama ini kerana liriknya yang sesuai dengan babak-babak yang dipaparkan dalam drama ini di mana watak utama Hawa lakonan Emma Maembong menjadikan perkahwinannya dengan Adam (Fikry Ibrahim) seperti satu permainan kehidupan. Lagu ini juga menyokong kisah Erfhan lakonan Nadhir Nasar yang melayan Safiana lakonan Shaza Bae dengan dayus sekali.


4. Drama ini diterajui pelakon hebat seperti Fikry Ibrahim dan Emma Maembong. Turut didukung oleh pelakon yang semakin meningkat naik Nadhir Nasar dan Shaza Bae serta Datuk Jalaluddin Hassan, Aznah Hamid, Rahim Omar, Mak Wanju, Ako Mustapha, Dayana Roza, Sabhi Sadhi, Yaya Maembong dan ramai lagi.

5. Chemistry di antara Fikry dan Emma terbentuk dengan mudah sekali kerana pengalaman serta sikap profesionalisme mereka. Emma mengakui wataknya kali ini agak sukar dan berat tetapi dia menyahut cabaran untuk menjayakan watak yang abusive ini sebaik mungkin. Sebelum ini, Emma memegang watak seorang isteri yang didera menerusi drama, I Promise.

6. Bagi Shaza dan Nadhir pula, chemistry mereka berdua mudah kerana persahabatan yang sudah terjalin di antara mereka. Kedua-dua mereka di bawah syarikat pengurusan yang sama. Watak Safiana lakonan Shaza kali ini mencabar kebolehan lakonannya kerana watak ini menampilkan kehidupan seorang isteri yang terperangkap dalam rumah tangga yang dipenuhi penderaan fizikal dan seksual.

7.  Nadhir dan Shaza turut merupakan pemenang Hero Remaja dan Dewi Remaja.



PECAHAN WATAK DRAMA ‘‘NUSYUZ BERKIBLAT CINTA’’


  • Emma Maembong sebagai Hawa
  • Fikry Ibrahim sebagai Adam
  • Nadhir Nasar sebagai Erfhan
  • Shaza Bae sebagai Safiana
  • Dayana Roza sebagai Khadijah
  • Sabhi Sadhi sebagai Zarul
  • Yaya Maembong sebagai Aisyah
  • Ako Mustapha sebagai Arman
  • Aznah Hamid sebagai Hajah Asmah
  • Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Haji Aris
  • Mak Wan sebagai Puan Fatimah
  • Tengku Malia sebagai TJ


LOGLINE DRAMA ‘‘NUSYUZ BERKIBLAT CINTA’’


Tidak mahu dirinya dikawal oleh lelaki, Hawa membuat keputusan untuk mengawal sepenuhnya rumah tangganya bersama Adam dari segi psikologi, sosial, fizikal, seksual dan kewangan.


SINOPSIS DRAMA ‘‘NUSYUZ BERKIBLAT CINTA’’

Nusyuz Berkiblat Cinta mengisahkan dua pasangan suami isteri, Adam dan Hawa, dan Erfhan dan Safiana. Apabila Hawa mendapat tahu yang Safiana menjadi mangsa keganasan rumah tangga, dia membuat keputusan untuk mengawal rumah tangganya sendiri dan bertegas untuk tidak tunduk sedikitpun pada suaminya. 

Hawa menetapkan syarat dalam perkahwinannya bersama Adam dan Adam hingga Adam sanggup mengenepikan keluarga dan kawan-kawannya demi Hawa. Tanpa disedari, Adam dikawal sepenuhnya oleh Hawa. Malang sekali, keadaan tidak berubah untuk Safiana apabila dia seringkali didera dari segi emosi, fizikal dan seksual oleh Erfhan.

Patutkah Adam dan Safiana terus kekal dalam perkahwinan masing-masing? Adakah Hawa dan Erfhan akan berubah menjadi pasangan yang lebih baik?

Post a Comment

2 Comments

  1. Seram tengok Hawa dalam trailer drama ni. Macam mana agaknya Adam bertahan

    ReplyDelete
  2. Tengah trending drama ni sebab watak Nadhir tu. Fuhh..lain macam watak dia. Semua watak boleh bawak. Emma pulak pegang watak antagonis lain dari sebelum ni watak heroin baik baik je.

    ReplyDelete